Kuala Lumpur 26 Sept - Pemaju hartanah Swasta Setia Holdings Sdn Bhd (Swasta Setia) menjangkakan projek hartanah terbarunya 'Kondominium Orion' di Jalan Tun Razak di sini akan habis dijual sepenuhnya menjelang suku pertama tahun hadapan.
Sejak dilancarkan jualannya Mac lalu, projek kondominium mewah setinggi 36 tingkat dengan nilai pembangunan kasar lebih RM100 juta itu telah berjaya mencatatkan jualan melebihi 50 peratus, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Zainuddin Mohd. Radzi.
Menurut beliau, lebih 20 peratus lagi unit telah ditempah oleh pembeli dan kini sedang dalam proses menunggu kelulusan pinjaman.
"Justeru, kami optimis baki 30 peratus unit kondominium ini akan habis dijual dalam tempoh yang ditetapkan," katanya dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir dalam pertemuan itu, Pengarah dan Pengurus Besar Swasta Setia, Ghazie Yeoh Abdullah.
Menurut Zainuddin, pihaknya yakin kekuatan Kondominium Orion terletak pada lokasinya yang strategik dan berhampiran pusat bandar, mampu memberikan nilai pelaburan yang tinggi kepada pembeli.
Berdasarkan keadaan pasaran, jelasnya, Kondominium Orion bakal memberikan pulangan sewaan antara lapan hingga 10 peratus.
Menurut beliau, daripada 50 peratus jualan yang dicatatkan pada masa ini, wujudnya kombinasi yang memuaskan daripada pembeli tempatan dan luar.
Katanya lagi, lebih membanggakan, 22 peratus daripada jumlah tersebut merupakan pembeli Bumiputera manakala bakinya merupakan campuran pembeli bukan Bumiputera dan pembeli dari negara-negara luar termasuk Australia dan Asia Barat.
"Sebagai sebuah syarikat yang agak baru, kami cuba menawarkan kepada pembeli rekaan yang terbaik dan berkualiti pada harga yang berpatutan iaitu cuma RM325 sekaki persegi," katanya sambil menambah pembinaan kondominium itu diharap bakal menjadi satu lagi mercu tanda kejayaan pembangunan hartanah Swasta Setia.
Ujar Zainuddin lagi, pembangunan kondominium itu dijangka siap menjelang Jun 2006.
Sementara itu Ghazie berkata, Kondominium Orion menawarkan dua pemandangan kepada pembeli iaitu Menara KLCC dan Tasik Titiwangsa.
Dari segi reka letak pula, beliau berkata, pihaknya menawarkan saiz bukaan lantai yang pelbagai iaitu daripada 1,161 hingga 1,626 kaki persegi bagi kondominium manakala 3,335 hingga 4,558 kaki persegi bagi kediaman duplex dan penthouse.
"Sebanyak lapan rekaan disediakan untuk pilihan pembeli dan setiap rekaan menawarkan sekurang-kurangnya tiga bilik tidur, tiga bilik mandi, kemudahan balkoni dan lanai," katanya.
Jelas Ghazie, kondominium tersebut bukan sahaja akan memberikan keselesaan dan gaya hidup mewah kepada pembeli tetapi turut menawarkan ketenangan dan ketenteraman berikutan kedudukannya yang jauh dari hiruk pikuk kota.
Pembangunannya juga, menurut beliau turut menawarkan pelbagai kemudahan seperti trek joging, 'driving range', restoran selain kemudahan dua lot tempat letak kereta bagi setiap unit kediaman.
|